Senyap, sunyi lalu menyapa sepi
bangku dan meja kosong tidak berpenghuni
seri dari dua ulas bibir telah hilang
sapaan kian tenggelam
menungan yang panjang
memengkalkan tiap mata yang memandang
dari renungan yang entah bagaimana untuk difahami
dari tuturan lenggok badan yang asing
tiada ghairah mencapai awan
apatah lagi cuba menongkat langit
kini
tiada kicauan sang burung
yang buat tiap telinga tertawan
pada hilai tawa riang atau pada wajah ceria
cuma tinggal lambaian angin yang bisu
lembut menerbangkan tiap helai daun kering
sugul mengelilingi suasana berpaksikan muram
lantas semangat juang kian hilang
ibarat panglima dimedan perang
yang kehilangan bendera
kerana
pohon-pohon yang tinggal hanya berkata sesama sendiri
dalam bahasa yang sukar dimengerti
mungkin risau pada hilangnya akar
tatkala gagal mencengkam bumi
keras bukan lagi tanah
kering kontang tidak berisikan air
beginilah, bila sepi disisi
No comments:
Post a Comment